PRODUK

.Burung,ayam,armab,lembu,kambing,kucing,dll.Kami akan atasi anda daripada kerugian .Nyatakan saja apa jenis penyakit,apa saja masalah anda,saya sedia membantu,saya akan sertakan tunjuk ajar suntikan,dos dan sebagainya.Kidmat nasihat doktor juga diberikan

masalah seperti sukar bunting,cirit birit,selsema,demam,kutu ,penyakit kuku

dan mulut FMD sakit mata,puru,Sampar ayam ,vaksin 7 in 1 untuk kambing dan arnab kembung,kurus murung,buruk dan pelbagai produk kandang ...

penghantaran melalui pos ke seluruh malaysia kecuali vaksin sejuk beku perlu

hantar dengan bas...

sila callSMS saya PN AZURAH (0123503979)


PERHATIAN

Perhatian..

Ubat dan vaksin yang dipaparkan ini adalah yang biasa diamalkan oleh peladang dan peminat haiwan.Semua Vaksin atau ubat yang iklankan adalah ubat yang dibenarkan pengamalannya secara terbuka ,penenang,bius damak/ubat pelali tidak dijual secara online kerana ia mempunyai dadah terlarang. .Anda boleh mendapatkannya dengan syarikat yang telah ditauliahkan dengan prosudur daripada pihak berkuasa..Hubungi untuk maklumat lanjut.

Rabu, 11 Mei 2011

PENYAKIT LEMBU

Tahukah anda ternakan yang bunting boleh mengalami keguguran. Salah satu punca keguguran adalah disebabkan oleh penyakit Bruselosis. Sekiranya ternakan anda mengalami keguguran pada bunting yang lewat iaitu 6 bulan dan ke atas, bruselosis hendaklah disyaki.
Penyakit bruselosis boleh menyebabkan:-
  • Keguguran
  • Kematian Anak Dalam Kandungan
  • Terlekat Uri
  • Penurunan Kadar Kesuburan
  • Pengurangan Pengeluaran Susu
Kuman penyakit ini berada didalam rahim semasa bunting serta boleh keluar melalui bandalir rahim, anak yang gugur dan susu. Biasanya jangkitan berlaku melalui makanan serta air yang tercemar dengan kuman tersebut.
Sistem pembiakan lembu jantan juga boleh dijangkiti oleh penyakit ini. Kuman akan menyerang buah zakar dan salurannya serta akan berada dalam mani lembu.
Penyakit ini dapat dikesan melalui gejala keguguran dan disahkan melalui ujian darah.
Penyakit bruselosis telah diwartakan sebagai penyakit kawalan. Semua kejadian keguguran hendaklah dilaporkan kepada Pejabat Perkhidmatan Haiwan Daerah yang berhampiran.
Penyakit Hawar Berdarah atau Haemoraghic Septicaemia dengan nama singkatan H.S. sering menyerang ternakan di Negeri Pahang. Kebiasaannya wabak ini akan menyerang ternakan kerbau dan lembu disekitar bulan Februari dan Mac setiap tahun.
Penyakit Hawar Berdarah disebabkan oleh kuman Pasteurella Multocidamenyerang ternakan yang mengalami stress akibat dari perubahan musim dari tengkujuh ke cuaca panas.
Ternakan kerbau lebih mudah dijangkiti H.S berbanding dengan lembu manakala anak lebih terdedah jika dibandingan dengan ternakan yang dewasa. Penyakit ini boleh mengakibatkan kematian yang tinggi sehingga 80% dikawasan wabak.
Setiap tahun ramai penternak mengalami kerugian akibat kematian ternakan kerbau dan lembu mereka disebabkan oleh wabak ini. Kerugian ini tidak sepatutnya berlaku kerana penyakit ini amat mudah dicegah. Penternak hanya perlu meminta perkhidmatan suntikan vaksin dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan.
Pemvaksinan hendaklah dijalankan sebelum atau sekitar bulan September setiap tahun untuk memberi masa meningkatkan tahap imuniti ternakan untuk menghadapi musim tengkujuh.

Penyakit Kuku dan Mulut adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus dan telah ditemui di Malaysia pada tahun 1973. Negeri Pahang telah pernah dijangkit penyakit ini pada tahun 1978. Penyakit ini hanya berlaku kepada semua ternakan yang mempunyai kuku kaki yang terbelah dua (cloven footed) seperti lembu, kerbau, kambing, bebiri, babi dan rusa.
Ternakan yang diserang penyakit ini akan menunjukkan tanda seperti demam, tempang, meleleh air liur, melepuh atau lecur di dalam mulut dan dicelah kuku kaki. Akhirnya akan rebah dan tidak boleh bangun.
Walaupun penyakit ini tidak mengakibatkan kadar kematian yang tinggi (kurang dari 5%), tetapi ternakan yang dijangkiti akan kehilangan berat badan dan tempang seterusnya menjurus kepada penurunan hasil susu dan daging, serta keguguran.
Penyakit Kuku dan Mulut boleh mengakibatkan kerugian ekonomi. Ketika wabak berlaku semua pergerakan dan penyembelihan ternakan akan ditegah sepenuhnya. Ini akan mengakibatkan kerugian perdagangan ternakan yang besar.
Penyakit Kuku dan Mulut perlu dicegah melalui pemvaksinan dan kawalan pergerakan ternakan dari kawasan yang berpenyakit. Di Malaysia, pemvaksinan dijalankan dinegeri-negeri yang belum bebas dari wabak penyakit ini dan juga di negeri yang berhampiran dengan sempadan Thailand. Bagaimana pun Negeri Pahang telah diistiharkan bebas dari penyakit ini sejak tahun 1985.
Semua Gerompok Makmurbif perlulah bebas dari penyakit Kuku dan Mulut ini.
Babesiosis adalah sejenis penyakit ternakan yang disebabkan oleh protozoa. Penyakit ini sering berlaku kepada ternakan seperti lembu, bebiri, kuda dan babi. Pada ternakan lembu penyakit ini sering menyerang baka tulin yang diimport atau baka kacukan. Baka tempatan seperti Kedah-Kelantan didapati jarang terkena jangkitannya kerana telah imiun (tahan) kepada penyakit ini.
Sengkenit adalah pembawa kepada penyakit ini. Penyakit ini dipindahkan oleh sengkenit dari satu ternakan kepada ternakan yang lain melalui gigitan. Ternakan yang diserang oleh penyakit ini akan menunjukkan gejala seperti demam, lemah, tiada selera makan dan pucat (anemia).
Pada peringkat yang lebih serius, ia akan menunjukkan tanda-tanda kekuningan (jaundice), kencing berdarah dan akhirnya membawa maut.
Dari segi kepentingan ekonomi, penternak akan mengalami kerugian secara langsung kerana penyakit ini boleh menyebabkan kematian yang tinggi iaitu melebihi 10 %. Selain dari itu, ianya boleh menyebabkan pengurangan hasilan ternakan seperti susu dan daging serta boleh menyebabkan keguguran.
Rawatan yang sesuai untuk penyakit ini ialah dengan menggunakan suntikan imizol. Walau bagaimanapuan, rawatan harus didahului dengan pemeriksaan darah di makmal atau jika ternyata ada gejala yang ditunjukkan dan terdapat banyak sengkenit pada ternakan tersebut. Oleh kerana penyakit ini berkaitan dengan sengkenit maka kawalan sengkenit adalah cara terbaik untuk pencegahannya
Helmintiasis ataupun kecacingan adalah satu penyakit yang disebabkan oleh endoparasit seperti cacing bulat, pita, kerawit dan sebagainya. Biasanya cacing terdapat didalam sistem penghadaman haiwan ternakan. Penyakit ini berlaku kepada semua haiwan ternakan seperti lembu, bebiri, kambing, ayam dan sebagainya, terutaman dikalangan ternakan muda.
Diantara tanda-tanda penyakit ini ialah pucat (anemia), kurus, adema di bawah dagu, diarea serta keguguran rambut badan dan mati  mengejut. Dari segi kepentingan ekonomi, penternak akan mengalami kerugian secara langsung disebabkan oleh kematian dan pengurangan hasilan seperti susu, daging dan pertambahan berat badan yang terbantut.
Faktor iklim negara ini yang sesuai bagi pembiakan cacing menjadikan ia satu penyakit yang biasa berlaku di kalangan ternakan terutama di musim hujan. Walau bagaimanapun  ia boleh dirawat dengan menggunakan ubat cacing. Penggunaan sesuatu ubat yang kerap dan berulang boleh menyebabkan cacing rintang (imun) terhadap ubat tersebut dan menjadikan rawatan tidak berkesan.
Oleh yang demikian, adalah disyorkan rawatan dan kawalan kecacingan dilakukan sebanyak 3 kali sahaja setahun. Ini bukan sahaja dapat  mengelakkan daripada berlakunya rintang tetapi juga dapat menjimatkan kos rawatan. Rawatan pertama dilakukan 3 atau 4 minggu sebelum bermula musim hujan (September) kemudian diulangi pada 21 hari ( 3 minggu ) berikutnya. Rawatan ketiga pula dilakukan pada 21 hari ( 3 minggu ) selepas rawatan kedua.
Fascioliasis atau jangkitan cacing fluk hati biasa berlaku di kalangan ternakan lembu, kerbau, kambing dan bebiri. Cacing dewasa bentuknya seperti daun, mudah dilihat dan dikenalpasti dengan mata kasar. Ia betelur di duktus hempedu hati dan keluar bersama-sama najis melalui pundi hempedu dan usus. Cacing ini memerlukan siput iaitu Lymnaea sebagai perumah perantara.
Di negara temperat, penyakit ini mempunyai kesan yang lebih ketara kepada ternakan bebiri di mana ia boleh menyebabkan kematian mengejut. Manakala bagi jangkitan yang kronik ia akan menunjukkan tanda anemia (pucat), edema (bengkak) di bawah dagu dan kemungkinan membawa maut. Fasioliasis di dalam ternakan lembu pula tidak menunjukkan apa-apa tanda yang khusus tetapi ia boleh menyebabkan kekurangan atau kerugian dari segi hasilan ternakan seperti daging dan susu.
Walau bagaimanapun, penternak boleh mengetahui status jangkitan Fascioliasis di dalam lembu mereka dengan membuat pemeriksaan najis ternakan secara rawak di Makmal yang berdekatan. Rawatan yang sesuai adalah dengan memberi ubat cacing yang mempunyai kesan terhadap kedua-dua cacing fluk dewasa dan fluk tak matang. Pengawalan biologi bagi siput Lymnaea yang sesuai dan murah disyorkan dengan memelihara itik di dalam kawasan sawah atau paya.
Penyakit Buruk Kuku atau Footrot merupakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan kuman dikenali sebagai Fusobacterium necophorum. Ia menjangkiti ternakan lembu melalui kerosakan kulit dan tisu lembut pada kuku kaki serta luka disebabkan benda tajam.
Penternak boleh mengenalpasti penyakit ini melalui tanda klinikal seperti tempang, tiada selera makan, demam, kuku menjadi bengkak, merah, berair dan akhirnya kulit menjadi mati (nekrotik). Ia juga boleh membawa kepada kematian jika tidak dirawat dengan segera.
Penyakit ini boleh menyebabkan pengurangan berat badan lembu yang dijangkiti dengan cepat sekali. Oleh yang demikian penternak perlu memberi perhatian yang lebih terhadap tanda penyakit ini. Perebakan penyakit ini adalah melalui cecair yang dikeluarkan dari kuku ternakan yang dijangkiti.
Biasanya rawatan dilakukan dengan membersihkan kawasan yang terlibat dengan menggunakan pencelup kaki yang mengandungi kuprum sulfat 5% satu atau dua kali sehari. Hindarkan juga benda tajam yang boleh mencederakan kaki ternakan di dalam kandang atau kawasan ragutan.
Cirit-birit adalah satu gejala atau tanda yang tidak normal berlaku kepada sistem penghadaman ternakan. Najis yang dikeluarkan kelihatan lembik dan cair, berubah warna serta mempunyai bau yang berlainan. Sekiranya cirit-birit ini berlarutan, ternakan akan kekurangan air dan tenaga dalam badan, lemah dan akhirnya boleh membawa kepada kematian.
Biasanya cirit-birit ini disebabkan oleh jangkitan kuman, virus ataupun parasit, keracunan, pengurusan peralatan atau makanan yang kurang bersih, kekurangan zat serta memakan makanan yang tidak sesuai atau berlebihan.
Prinsip rawatan adalah dengan memberi rawatan awal cirit-birit, pengesanan agen penyebab melalui pemeriksaan najis, darah, makanan dan lain-lain sampel yang berkaitan serta memusnahkan agen penyebab dengan secepat mungkin. Pengasingan ternakan yang terlibat juga perlu dilakukan untuk mengelakkan penyakit dari merebak.
Penternak boleh mengawal gejala ini dengan mengutamakan kebersihan di dalam pengurusan ternakan. Di samping itu pemberian ubat cacing yang sistematik perlu dilakukan untuk pengawalan jangkitan cacing serta memberi suntikan pelalian yang sesuai untuk pencegahan penyakit-penyakit tertentu yang boleh menyebabkan kejadian cirit-birit.

Membran janin atau sarung anak lazimnya keluar 12 jam selepas kelahiran. Jika sarung anak keluar 12 - 24 jam selepas kelahiran, ini sudah dianggap lewat. Sekiranya terlewat daripada 24 jam, keadaan ini dianggap sebagai terlekat uri. Kejadian ini berlaku sekitar 3 - 12% dalam kelahiran biasa. Dalam kelahiran luar biasa atau berlaku jangkitan kepada saluran peranakan, dijangka 20 - 50% dari lembu akan terlekat uri.
Kes terlekat uri boleh membawa kepada penyakit lain jika tidak ditangani dengan baik. Lembu yang lekat uri akan hilang selera makan dan kurang pengeluaran susunya. Sekiranya uri terlekat dengan servik tertutup, lembu tersebut boleh dijangkiti penyakit. Lembu boleh menjadi demam dan membawa kepada radang rahim atau metritis.Penyakit ini akan menjejaskan kesuburan lembu seperti lambat datang pusingan galak dan lambat pula beranak semula, malahan boleh membawa kepada mandul.
Menjadi amalan pengurusan yang baik untuk mengasingkan kumpulan lembu yang sarat bunting dalam satu kumpulan. Kumpulan ini, eloklah dibiarkan meragut berhampiran dengan kandang untuk memudahkan pengendalian dan diberi makanan secukupnya. Ini akan memberi tenaga kepada induk untuk melahir dan menyusukan anak. Kumpulan ini juga dapat diawasi dengan rapi dan dirawat dengan segera bila berlaku terlekat uri. Sekiranya tuan dapati lembu baru beranak tidak mengeluarkan uri selepas 24 jam, maka lembu tersebut perlu diberi rawatan dengan kadar segera.
Kembong (bloat) adalah pembesaran rumen dan retikulum (perut di bahagian kiri abdomen) pada ternakan ruminan akibat dari pengumpulan gas. Penternak boleh mengenalpasti kejadian kembong ini melalui tanda-tanda seperti resah, kerap duduk dan bangun, pembesaran dan sakit dibahagian kiri abdomen, tiada selera makan dan minum, sesak nafas dan akhirnya boleh membawa kematian. Ini akan merugikan penternak.
Kembong berlaku apabila kadar gas yang dihasilkan melebihi dari kadar pengeluaran gas. Gangguan yang terjadi menyebabkan gas yang dihasilkan terkumpul di dalam rumen dan kemudian akan membesar. Kelebihan gas yang dihasilkan adalah kerana proses penapaian yang dilakukan oleh mikro organisma dalam rumen dan juga gangguan fizikal secara langsung terhadap pengeluaran gas.
Punca kepada kejadian kembong adalah disebabkan faktor pemakanan dan sekatan kepada pergerakan gas yang dihasilkan secara fizikal seperti esofagus tersumbat, perut terpintal, radang perut dan sebagainya.
Penternak perlu mengetahui sebab-sebab berlakunya kembong sebelum ternakan mereka dirawat. Manakala pengawalan boleh dilakukan dengan mengamalkan kaedah pengurusan yang betul. Pastikan makanan PKC yang diberi tidak terlalu halus kerana ia akan mempercepatkan pengeluaran gas serta penghasilan buih yang banyak. Selain dari itu elakkan ternakan memakan daun-daun seperti kekacang, ubi dan nangka dengan banyak.

Bovine Spongiform Encephalopathy (BSE) atau lebih dikenali sebagai "Penyakit Lembu Gila" merupakan satu penyakit yang menjangkiti otak serta boleh menyebabkan kematian di kalangan lembu dewasa. Ia juga boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan "Variant Creutzfeldt- Jacob Disease"
BSE mula disahkan berlaku di negara United Kingdom (UK) dalam tahun 1986. Penyakit ini kemudiannya menular ke negara lain di Eropah seperti Great Britain, Switzerland, Ireland, Perancis, Portugal serta termasuklah kes yang baru ditemui di negara Itali, German serta Denmark
Penyakit ini dipercayai disebarkan melalui makanan yang mengandungi "Meat and Bone Meal (MBM)" daripada ternakan yang telah dijangkiti oleh BSE. Manakala agen penyebab kepada penyakit ini adalah sejenis protein daripada ternakan yang dipanggil 'prion'
Ternakan yang terkena penyakit ini akan menunjukkan tanda penyakit saraf iaitu agresif, sukar berdiri dan berjalan dengan betul, tiada selera makan, kurus serta menyebabkan kematian.
Di Malaysia, masih belum ada kejadian BSE berlaku serta didapati bebas dari penyakit ini. Walaubagaimanapun, kerajaan telah mengambil langkah pencegahan awal penyakit ini dengan larangan mengimport lembu hidup serta produk daging lembu dari negara Kesatuan Eropah serta United Kingdom.
Luka berulat merupakan satu keadaan yang lazim berlaku di kawasan tropika amnya dan khasnya di negara kita yang cuacanya panas dan lembab. Keadaan ini nampak serius di kawasan integrasi di mana terdapat duri pelepah sawit yang boleh memberi kesan luka kepada ternakan di tambah lagi terdapat ternakan jenis kacukan yang dipelihara mempunyai ketahanan terhadap luka berulat di tahap sederhana. Terdapat juga faktor lain yang menyebabkan luka berulat seperti serangan kutu babi yang teruk yang juga boleh melukakan kulit.
Luka berulat terjadi bila mana ternakan mengalami luka. Darah yang keluar dari luka itu menarik lalat supaya hinggap seterusnya bertelor di atas luka tadi. Telor ini akan menetas dalam masa 8 -24 jam bergantung kepada faktor cuaca dan suhu. Telor yang menetas ini kemudiannya menjadi larva yang akan memakan tisu-tisu mati yang seterusnya membuat luka tadi semakin teruk. Larva ini membentuk koloni di dalam luka seperti bilik atau poket dan membuatkan luka ini menjadi semakin besar dan membengkak. Keadaan akan lebih parah lagi jika luka berlaku di kawasan sukar seperti sebelah dalam peha. Jika kita memakai sarung tangan dan mengorek luka tadi, kita akan dapati keadaan dalam luka berulat seperti poket yang tersembunyi di bawah kulit.
Jika keadaan ini tidak ditangani dengan segera dan baik, ia akan memberi kesengsaraan kepada ternakan dan menyebabkan kehilangan ekonomik kepada penternak. Walaubagaimanapun keadaan ini sebenarnya senang dirawat. Apa yang perlu dibuat ialah ternakan mestilah ditangkap dan diberi satu suntikan ivermectin secara bawah kulit. Dengan satu suntikan, ia dapat mematikan larva secara berkesan dan seterusnya luka berulat akan sembuh dalam masa 15 – 20 hari bergantung kepada ketahanan ternakan.

Rinderpest adalah sejenis penyakit akut yang mudah berjangkit serta boleh menyebabkan kematian yang tinggi di kalangan lembu dan kerbau. Ia disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Morbilivirus dan menjangkiti sistem usus serta pernafasan ternakan.
Penyakit ini biasa berlaku di negara Afrika, Eropah, Pakistan, India, Nepal serta Rusia. Ternakan yang terkena penyakit ini akan menunjukkan tanda demam, murung, kekeringan, tiada selera makan, susah bernafas, berhingus, pengeluaran air mata dan liur berlebihan, ulser pada membran mukosa mulut dan hidung serta cirit birit.
Biasanya penyakit ini boleh merebak melalui udara. Walaubagaimana pun virus penyakit ini sangat sensitif dan mudah musnah dengan suhu tinggi (> 56°C) serta dengan sebarang penggunaan bahan pembasmian kuman.
Walaupun di Malaysia pada masa kini tiada kejadian penyakit ini tetapi kemungkinan risikonya tetap ada sekiranya berlaku kemasukan ternakan lembu yang berpenyakit dari negara-negara yang telah dijangkiiti dengan penyakit ini.

Penyakit hawar berdarah merupakan satu penyakit yang biasa di Malaysia. Kawasan taburan yang sering berlaku penyakit ialah di Afrika, Asia Tenggara, China dan juga India. Di Malaysia agen penyakit ialah pasteurella multocida Carter Type B:2
Tanda penyakit adalah seperti berikut:-
  • Kemurungan
  • Tidak mahu bergerak
  • Demam
  • Penegluaran air liur yang banyak
  • Pendarahan
  • Bengkak di sekeliling leher, kepala dan juga dada.
  • Lemah serta mati.
Ternakan lembu dan juga kerbau merupakan perumah kepada penyakit ini dengan kerbau sebagai ternakan yang lebih berpotensi untuk terkena jangkitan.
Ternakan yang tekena jangkitan akan mati dalam masa beberapa jam sahaja selepas menunjukkan tanda penyakit. Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, ternakan yang tidak mendapat pelalian, kejadian yang melibatkan ternakan yang banyak dan juga dengan kehadiran tanda klinikal seperti bangkak di sekeliling leher , kepala dan dada menunjukkan kejadian hawar berdarah (HS) kepada ternakan.
Pengawalan ialah dengan mendapatkan suntikan pelalian "alum-precipitated bacterin" atau "oil-adjuvant bacterin" untuk pencegahan daripada penyakit berjangkit ini.

SUNTIKAN VAKSIN HAWAR BERDARAH DI KAWASAN WABAK TAHUN 2000
DaerahPopulasi
Berisiko
Bil. Suntikan
(ekor)
Peratus
Liputan
KerbauLembuKerbauLembuKerbauLembu
Jerantut
220
1,500
77
904
35
60.27
Maran
457
2,508
191
2,097
41.79
83.61
Pekan
60
2,860
19
2,380
31.67
83.22
JUMLAH
737
6,868
287
5,381
38.94
78.35
Penyakit Johne's berpunca daripada agen penyakit Mycobacterium paratuberculosis. Antara tanda utama bagi penyakit ini ialah cirit birit yang berpanjangan diikuti dengan ternakan lembu tersebut menjadi kurus. Penyakit ini tidak dapat dikesan secara klinikal sehinggalah berlakunya cirit-birit.
Penyakit ini berjangkit melalui makanan atau minuman yang tercemar oleh najis yang mempunyai agen penyakit. Biasanya penyakit ini menjangkiti anak lembu berumur di bawah 30 hari.
Penemuan bedah siasat pula akan menunjukkan penebalan dinding usus besar yang ketara. Rawatan di dalam kes jangkitan penyakit Johne's selalunya tidak berjaya. Oleh itu kawalan dengan menguji ternakan sebelum masuk ke ladang adalah amat perlu. Ternakan yang diuji darah dan positif kepada jangkitan ini mestilah diasingsingkir daripada gerompok dan disembelih di bawah pengawasan veterinar. Ini adalah kerana agen penyakit yang disebarkan dalam ladang boleh bertahan selama 1 tahun jika keadaan sesuai.
Pada tahun 2000 suatu perubahan dasar dalam kawalan penyakit Bruselosis telah diperkenalkan dengan kaedah penggunaan Vaksin Brusela RB 51. Vaksin Brusela RB 51 adalah vaksin hidup yang stabil. Ianya telah dicampur dengan pencair. 1 botol vaksin mengandungi 10 ml dan dos suntikan bagi seekor lembu sebanyak 2 ml di bawah kulit (subkutaneus)
Vaksin RB 51 tidak menghasilkan antibody yang dikesan oleh ujian makmal seperti ujian CFT dan RBPT. Ia tidak melindungi ternakan yang telah dijangkiti Bruselosis. Oleh itu ternakan yang telah dijangkiti boleh dikesan dengan ujian makmal dan boleh diasingsingkirkan daripada gerompok tersebut.
Tujuan pemvaksinan
  • Mengawal dan mengurangkan kadar prevalen
  • Membasmi jangkitan secara uji dan takai
  • Menjadikan gerompok bebas semula dari bruselosis
Kadar prevalen Bruselosis di negeri Pahang telah berjaya dibendung kepada 3.99% (tahun 2001) berbanding tahun 2000 iaitu 5.63%, 5.51% di tahun 1999 dan 13.25% di tahun 1998.
Kesimpulan
Vaksin RB 51 boleh membantu dalam kawalan Bruselosis secara uji dan takai.Penggunaan ujian RBPT dapat mengesan ternakan positif dengan pantas. Vaksin RB 51 mudah digunakan di lapangan dan dapat mengurangkan kadar prevalen di lading yang tinggi kadar jangkitan bruselosis.
Dalam bidang pertanian, urea digunakan sebagai bahan tambahan makanan untuk ternakan ruminan dan juga sebagi baja untuk tanaman. Urea yang berlebihan dalam bentuk serbuk atau cecair jika dimakan oleh ternakan lembu akan menyebabkan kematian yang tinggi.
Kesan keracunan ini disebabkan oleh pengeluaran berlebihan ammonia dan penyerapan yang cepat dalam rumen menyebabkan tanda klinikal berlaku dalam hanya 10 -30 minit sahaja selepas urea berlebihan dimakan. Bahan makanan yang mengandungi urea seperti kacang soya dan campuran molasses dan urea. Tanda penyakit meliputi sakit abdomen yang teruk, mulut berbuih, sensitive kepada bunyi, otot menggigil, jalan tidak seimbang, lemah, susah bernafas, kembong, menggelupur dan membuat bising. Tanda keracunan ini berlaku setelah ammonia dalam darah mencapai konsentrasi 0.7 - 0.8 mg/dl.
Penternak umumnya telah tahu  berkenaan dengan kejadian penyakit yang berlaku kepada ternakan. Antara penyakit yang penting ialah Brucelossis, Hawar Berdarah, Penyakit Kuku dan Mulut, kecacingan,  penyakit kulit, Johne's, cirit birit, kembong dan penyakit bawaan vektor.
Dalam pertandingan lembu baka yang di adakan di Jengka baru-baru ini juga mengambil kira status penyakit ternakan terbabit. Status kesihatan ternakan merupakan satu kriteria uatama dalam pemilihan ternakan yang terbaik. Ternakan yang bertanding akan dinilai latar belakangnya dan status kesihatan gerompok serta diambil darah untuk dibuat ujian saringan penyakit. seterusnya bebas penyakit menjadi kriteria yang perntign bagi pemilihan juara pertandingan. Oleh itu, jika mengimpikan kemenangan, pastikan lembu anda bebas penyakit.
Kejadian ternakan lembu dipatuk ular bergantung kepada keadaan geografi sesuatu kawasan. Kawasan yang mempunyai banyak ular berbisa sudah tentu akan mempengaruhi kadar kejadian lembu dipatuk ular. Lembu yang dipatuk ular akan menunjukkan tanda kerosakan saraf yang teruk.
Serius atau tidak tanda klinikal bergantung saiz dan juga spesis ular, saiz lembu dan tempat yang terkena patukan ular. Jika patukan terkena kepala, leher atau hidung ternakan, sudah pasti akan membawa maut. Tempat patukan akan membengkak dan mempunyai kesan taring ular.
Kehadiran ular dalam ladang kelapa sawit perlu seimbang bagi mengekang populasi tikus. Ular lazimnaya akan lari bila merasai gegaran tapak kaki lembu, Masalah ini dapat diatasi bila pengurusan foraj melalui ragutan bergilir dapat diuruskan dengan cekap. Ketinggian foraj sekata dan tiada kawasan semak yang menjadi sarang ular.
Semua pengusaha menghendakan setiap anak lembu yang lahir hidup dan membesar dengan sempurna hingga dapat dijual. Walau bagaimanpun terdapat juga anak lembu yang pada masa lahirnya kelihatan sihat dan cergas dan beberapa ketika kemudian anak lembu itu mulai lemah dan akhirnya mati dalam masa yang singkat. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kecacingan.
Ascariosis disebabkan oleh cacing Toxocara vitulorum yang biasanya menyerang anak lembu yang muda (kurang 6 bulan) kerana cara jangkitan adalah melalui susu ibu. Ini ditambah lagi keadaan cuaca negara kita yang basah dan lembab yang memudahkan pembiakan dan perebakan cacing jenis ini. Penyakit ini dapat dikenal dengan melihat tanda-tanda yang terdapat pada anak lembu yang dijangkiti. Antaranya cirit birit yang  kerap, kekurangan selera makan dan berat badan, serta kadangkala terdapat darah serta lendir di dalam najis.
Ia dapat dikawal dengan menggunakan ubat cacing yang tertentu sepertipiperazine, pyrantel, levamisole dan fenbendazole. Rawatan sepatutnya dilakukan sebaik sahaja tanda penyakit dapat dikesan pada anak lembu kera rawatan yang awal penting untuk mengelakkan anak lembu daripa kekeringan. Rawatan yang biasa diberikan ialah merawat tanda-tanda penyakit disamping pemberian ubat cacing.
Selain daripada merawat ternakan yang dijangkiti, penyakit ini sebenarnya dapat dicegah kerana mencegah lebih baik daripa merawat. Tujuan pencegahan yang utama ialah untuk menghalang parasit ini daripada memberi kesan kepada anak lembu dan menghalang daripada pencemaran kawasan sekitar dengan telur cacing. Anak lembu berumur 10 - 16 hari perlu diberi ubat cacing. Selain daripada itu ialah dengan memberi makanan yang bermutu dan mencukupi kepada lembu pembiak yang bunting untuk menghasilkan anak lembu yang kuat dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap serangan cacing ini disamping mengamalkan kebersihan yang tinggi di dalam gerompok. Mengamalkan biosekuriti yang baik dengan mengawal dan menguji ternakan yang masuk ke dalam gerompok dapat mencegah jangkitan cacing ini.
Penyakit Brusella telah diwartakan sebagai penyakit kawalan. Penyakit ini telah dikenalpasti diNegeri Pahang bermula pada tahun 1996. Pada ketika itu, 7 sampel darah positif kepada penyakit Brucella daripada sejumlah 7,010 sampel darah yang diuji.  Ternakan yang dijangkiti bakteria Brucella abortus akan mengalami keguguran pada bunting yang lewat iaitu pada 6 bulan ke atas masa bunting.
Secara fizikalnya, ternakan tidak menunjukkan gejala kesakitan. Bakteria Brucella abortus berada didalam rahim induk yang bunting dan apabila proses beranak atau kematian anak dalam kandungan berlaku, bakteria ini akan keluar bersama bendalir rahim dan susu. Biasanya jangkitan berlaku melalui makanan serta air yang dicemari dengan bekteria tersebut.
Sehingga kini terdapat sebanyak 54 kawasan kejadian penyakit yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Pahang. Uasahawan Makmurbif dinasihatkan supaya merujuk kepada Jabatan untuk tujuan jual-beli ternakan dan juga pemindahan ternakan dan juga pemindahan ternakan supaya penyakit ini dapat dikawal daripada terus mengancam industri penternakan lmbu di Negeri Pahang. Semoga usahawan Makmurbif sekelian sedar akan peri pentingnya ujian darah untuk pengesanan penyakit kepada semua ternakan.
Menurut kajian yang dijalankan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada beberapa tahun kebelakangan ini, kejadian penyakit yang disebabkan oleh agen penyakitLeptospira hardjo dan Leptospira pomona semakin meningkat. Tanda-tanda klinikal ialah kekuningan dan kencing berdarah dalam kes jangkitan oleh Lepospira pomona. Walaubagaimanapun jangkitan oleh Leptospira hardjo tidak menunjukkan tanda-tanda tersebut menyebabkan diagnosis penyakit agak sukar. Kejadian keguguran yang serentak pada ternakan yang bunting akhir merupakan satu tanda utama permulaan jangkitan penyakit. Bagi kawasan yang kerap berlaku jangkitan, keguguran akan berlaku pada ternakan yang bunting pada usia yang muda dan tidak pula berlaku serentak.
Ubat Dihydrostreptomycin digunakan untuk merawat ternakan. Vaksin perlu diberi kepada ternakan bagi perlindungan terhadap penyakit ini. Kaedah kawalan pengurusan ternakan perlu diambil dengan mengawal tikus di ladang, memagar ternakan daripada meminum air daripada kawasan yang dijankiti dan pemisahan antara ternakan lembu dan haiwan liar serta babi.
Kajian terhadap penyakit ini masih diteruskan. Moga dengan ini usahawan Makmurbif sedar akan kemunculan semula penyakit ini dalam ternakan. Ia hendaklah dipandang sama seriusnya dengan penyakit Brusella. Oleh itu, langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi membendung risiko jangkitan pada ternakan dan juga diri tuan-tuan sekelian
Kejadian penyakit yang disebabkan oleh virus papilloma berlaku kepada semua spesis haiwan di dunia. Pada ternakan lembu biasanya papillomavirus akan menyebabkan ketumbuhan pada bahagian kulit yang dikenali sebagai ketuat.
Terdapat ketuat yang spesifik pada bahagian tubuh yang berlainan. Virus ini berjangkit dengan cara sentuhan setelah virus memasuki luka di badan. Secara amnya, penyakit ini menjejaskan kepentingan ekonomik ternakan. Walaubagaimanapun, keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya terdapat jangkitan bakteria pada kulit yang luka. Ketuat biasanya kelihatan pada bahagian kepala terutamanya mata, tengkuk dan juga bahu ternakan.
Rawatan: Dua vaksin diberi di bawah kulit selang 1-2 minggu. Ternakan yang dijangkiti akan sembuh dalam masa 3-6 minggu. Untuk mengawal jangkitan, penternak perlu mengasingkan ternakan yang dijangkiti penyakit dan menggunakan vaksin pencegah kepada semua serotaip papillomavirus.
Biasanya ladang-ladang Kelapa Sawit akan menggunakan baja Urea untuk menyuburkan tanaman ladang. Namun begitu, penggunaan Urea bagi kawasan integrasi ternakan perlu dibuat secara berhati-hati supaya tidak memudaratkan ternakan yang meragut dikawasan tersebut. Pengambilan lebihan baja yang tidak digunakan dari bekas atau bag secara berlebihan boleh menyebabkan keracunan Urea dalam ternakan Lembu.
Urea ialah bahan kimia pepejal, berkristal yang berwarna putih. Urea merupakan sumber protein dan biasanya terdapat dalam makanan tambahan seperti garam jilat. Ia juga digunakan untuk menambah kualiti makanan dalam pembuatan silaj batang jagung dan jerami padi.
Bakteria dan Urase (sejenis enzim yang terdapat dalam sistem penghadaman dalam rumen) akan memecahkan Urea kepada ammonia dan karbon dioksid. Ammonia ini akan meresap ke dalam darah. Jika lembu tersebut memakan Urea lebih 0.44 g/kg berat badan, maka tanda-tanda klinikal akan kelihatan seperti kembung dan pengeluaran air liur yang berlebihan. Apabila pengambilan Urea pada tahap 1 - 1.5 g/kg berat badan, ternakan mengalami paru-paru berair dan kesusahan bernafas dan akhirnya mengakibatkan kematian.
Semasa keracunan Urea, pergerakan rumen akan terhenti dan pH akan meningkat lebih dari 7.5. Peningkatan pH ini akan menyebabkan aktiviti urase berlebihan. Pemberian asid lemah diperlukan. Asid asetik (4-5%) atau cuka makan sebanyak 1-2 liter boleh diberikan pada lembu yang mengalami keracunan Urea.
Serangan mikro-organisma terhadap sistem penghadaman boleh menyebabkan cirit-birit kepada anak lembu. Cirit-birit memudaratkan sehingga boleh menyebabkan kematian. Ini berikutan dari kehilangan air dan elektrolit seperti sodium dan klorin dari badan.
Kekurangan pengambilan susu julung atau kolostrum oleh anak lembu sebaik lepas dilahirkan adalah salah satu punca utama berlaku cirit-birit. Bagi anak lembu yang dilahirkan lemah atau menghadapi  masalah ketika kelahiran biasanya mengambil masa yang agak lama untuk berdiri. Kesukaran ini akhirnya melambatkan pengambilan kolostrum. Seperti yang diketahui, kolostrum mengandungi antibodi yang tinggi dan dapat melindungi anak lembu dari jangkitan penyakit. Susu kolostrum ini pula dihasilkan dalam tempoh yang singkat selepas kelahiran.
Oleh itu kelewatan pengambilan kolostrum boleh menyebabkan kekurangan penyerapan antibodi ke dalam badan. Kadar penterapan antibodi akan berkurangan 50 peratus dalam tempoh 6 jam selepas kelahiran dan 90 peratus selepas 24 jam. Adalah amat penting memastikan anak lembu mendapat kolostrum sebaik sahaja kelahiran bagi mengatasi cirit-birit ini.
Penyakit Johne's adalah merupakan satu penyakit yang boleh menjangkiti pelbagai jenis ternakan termasuklah lembu, kerbau, kambing, bebiri dan rusa. Haiwan yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami cirit-birit yang kronik, kehilangan berat badan dan tidak pulih kepada rawatan.
Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Mycobacterium paratuberculosis yang tahan hidup dipersekitaran. Jangkitannya akan menyebabkan dinding usus kecil menebal dan tidak dapat menyerap zat makanan. Ternakan merasa lapar dan makan dengan banyak tetapi akan kurus hingga boleh membawa maut. Tempoh jangkitannya pula lama. Ia boleh melewati dua tahun dan akan menjangkiti ternakan lain dalam gerompok. Ini akan merugikan penternak.
Lembu yang disahkan positif hendaklah disingkir dari gerompok dan disembelih. Penyakit ini boleh dikesan melalui ujian darah. Lembu yang seropositif belum dapat disahkan positif. Manakala pengesahan untuk singkiran dibuat melalui kultur kikisan dinding usus. Pastikan ternakan yang ingin dibawa masuk ke gerompok disaring terlebih dahulu sebelum dibenarkan bercampur dengan ternakan lain. Bebas dari Johne's menjadi satu prasyarat mendapat akreditasi Makmurbif.
Penyakit tuberkulosis lembu merupakan penyakit dalam lembu dan manusia. Penyakit ini dikenali juga sebagai penyakit batuk kering atau TB. Dalam lembu, ia disebabkan oleh bakteria Mycobacterium bovis. Jangkitannya boleh berlaku daripada lembu kepada manusia dan sebaliknya. Dalam anak, jangkitan berlaku melalui susu dari induk yang berpenyakit. Tetapi kerapkali jangkitan berlaku melalui pernafasan dan sentuhan.
Lembu yang dijangkiti TB akan mempunyai nodul atau bisul yang dapat dikesan terutamanya dalam paru-paru, nodus limpa dan pelbagai organ dalam rongga abdomen termasuk usus, pembiakan, sistem saraf malah tulang. Pengesanan penyakit ini dibuat ketika pemeriksaan post-mortem selapas disembelih dan juga melalui ujian tuberculin.
Skim Akriditasi Makmurbif menjamin yang gerompoknya bebas dari TB. Ini merupakan satu sebab utama penternak perlu pastikan ternakan meraka disembelih dirumah sembelih rasmi Jabatan. Jika pengesanan penyakit dibuat di sana akan disusul balik dengan ujian gerompok.Sehingga kini gerompok kita masih bebas dari jangkitan penyakit ini.
Dari pemeriksaan post mortem di kalangan lembu di rumah sembelih dalam Negeri Pahang kadangkala ditemui cacing hati. Jangkitan cacing hati atau Fasciola hepatica. Ini berlaku di kalangan gerompok lembu yang meragut dalam kawasan berpenyakit. Cacing ini perlukan perumah siput Lymnaea yang hidup dalam kawasan berair. Jadi haiwan yang meragut dalam kawasan berair yang ada siput itu berisiko dijangkiti cacing hati. Anak cacing hati yang dimakan bersama rumput oleh lembu akan bergerak menuju ke hati dan matang dalam saluran hati.
Lazimnya jangkitan cacing hati dalam lembu tidak memberi kesan ketara. Tetapi saluran hati yang tersumbat akan membuatkan bengkak dan rosak. Kesihatan lembu terganggu dan menjejaskan produktivitinya. Penyembelihan pula akan rugi kerana hati rosak terpaksa dibuang. Maka lembu yang dipelihara dalam kawasan yang berpenyakit perlulah diberi ubat cacing untuk mencegahnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan